ANAK KAWAN SAYA …

.

.

.

.

.

.

.

.

Al-Fatihah

Published on 4 Dec 2012

Genap sudah 30 hari Zainul Ariffin pergi meninggalkan kami. Begitu pantas sekali masa berlalu. Namun, segala peristiwa bersama dirinya masih begitu segar di dalam ingatan. Bagai baru saja semalam…….. Pada setiap kesukaran, kepedihan, kesabaran dan ketabahan yang begitu sukar untuk dizahirkan dengan kata-kata.
Ada orang pernah berkata, pada yang telah pergi biarkanlah saja dia pergi. Usah dikenang-kenang kerana dirinya sudah dijanjikan dengan tempat yang baik. Tempat yang menjadi idaman semua. Iaitu syurga milik-Nya.
Satu perkara yang pasti, tidak mungkin akan dapat dilupakan tentang dirinya. Dia datang dari tanda kasih kami. Satu anugerah yang cukup bermakna. Meskipun keadaannya tidak begitu sempurna ….pelbagai komplikasi yang ditanggung semasa bayi dulu.., namun di sisi Tuhan dia begitu sempurna. Ternyata, dia terlalu istimewa.
Setiap kali berkongsi cerita tentang dirinya, ada yang mungkin beranggapan bahawa kami sebagai ibu dan ayahnya akan bersedih dan meratapi akan sebuah kehilangan. Tidak. Air mata bukan tumpah kerana duka. Kadangkala, ia mengalir kerana kerinduan. Juga kerana kesyukuran. Alangkah terharunya di hati kami, apabila mendengar dan membaca hadis yang menerangkan bagaimana anak kecil yang telah pergi akan memberi syafaat kepada ibu bapanya. Bergenang juga air mata ini, apabila diberitahu sewaktu manusia dihisab di akhirat, syafaat yang datang dari anak kecil ini datang membantu ibu dan ayahnya. Moga di sana nanti, tangannya bisa memimpin kami bersama-sama ke syurga!
Alangkah indah dan nikmatnya impian itu.
Sesungguhnya segala apa yang telah ditentukan oleh Tuhan adalah suatu perkara yang sukar dijangkau oleh pemikiran kita sebagai manusia yang kerdil. Manusia hanyalah merancang, namun hanya Dia yang menentukan segalanya. Kata-kata ini seringkali terungkap. Apabila kita membuka hati dan jiwa serta melihat segala apa yang kita lalui selama kehidupan ini, maka sudah pasti akan tersingkap kebesaran-Nya.
Mengenangkan Zainul Ariffin…dirinya adalah satu perkara yang bukan luar biasa buat kami. Tidak pernah namanya lekang dari terungkap dari mulut kami sekeluarga. Bagaikan dia ada selalu bersama kami. Cuma berada pada alam yang berbeza. Antara hidup dan mati. Namun kasih sayang itu telah mengikat kami dengan begitu erat. Mengenangkan dirinya turut mengingatkan diri ini akan kuasa Sang Pencipta. Bahawa manusia itu adalah kerdil dan tiada upaya.
Cukup dengan Zainul Ariffin…., kami diajar untuk memahami dan mengenali siapa diri kami ini. Sehebat mana pun manusia, kita ini bukan siapa-siapa. Tetapi hanyalah sekadar manusia biasa yang seharusnya mensyukuri akan kebesaran Ilahi. Hanya kepada Dia tempat untuk bermohon. Dan setiap kali kami meminta bantuan dan harapan, maka kami diberikan jawapan pada setiap persoalan dan permintaan. Ianya datang dengan perlahan-lahan, namun cukup sempurna. Setiap peristiwa bersama Zainul Ariffin bersilih ganti bagai memberi jawapan buat kami insan yang mengharap keredhaan dari-Nya. Membuka mata hati dan jiwa. Betapa agungnya Dia.
Mengimbau kembali kenangan bersama Zainul Ariffin, mengingatkan kami pada satu ruang di mana kekuatan, kesabaran dan ketabahan itu teruji. Hati dilentur-lentur. Perlahan-lahan ia dipeluk dalam selimut takdir. Redha untuk menerima pada setiap pemberian dari Tuhan. Pernah juga sesekali terlintas, adakah itu diri kami? Tiada siapa pun mahu membayangkan berada di dalam keadaan yang sedemikian. Tetapi, jika itu kehendak-Nya, maka siapalah kita untuk menolaknya? Kerana, di dalam dugaan sebegitu kita akan terasa begitu dekat dengan-Nya. Dan sentiasa berharap agar rahmat dan kasih-Nya akan terus berpanjangan hingga ke akhir waktu.
Jutaan terima kasih yang tak terhingga buat semua teman dan kenalan yang begitu setia membaca ruangan ini khususnya. Baik yang mengenali secara peribadi mahupun hanya di ruang maya ini.
Untuk Terakhir Kali…………….
Sungguh dapat kami rasakan betapa indahnya ikatan yang pernah terjalin melalui anakanda kami, Zainul Ariffin…. Tidak akan kami lupakan pada semua yang pernah memberikan kata-kata semangat dan kekuatan. Serta doa yang tulus ikhlas. Tangan ini tidak mampu untuk menzahirkan rasa syukur dan terima kasih itu. Hanya doa dipohonkan agar setiap kebaikan yang dihulurkan akan diberikan ganjaran yang besar di akhirat kelak. Insya Allah, moga satu hari nanti kita akan dipertemukan.
“Zainul Ariffin…, seakan baru saja semalam kami bersamamu. Mengenangkan dirimu, mengingatkan diriku akan kebesaran, keagungan dan kekuasaan Tuhan. Moga dirimu berbahagia dan bergembira dikelilingi bidadari syurga, sayangku. Dan moga nanti kita disatukan di syurga milik-Nya. Ya Allah, sampaikanlah salam kerinduan kami buat Zainul Ariffin.”
Zainul Ariffin…dalam kenangan… 15/5/1998 – 1/11/2012
Al-Fatihah…..

.

.

.

.

*kesat air mata*